Bahagian 1 : Jelajah Eropah

International Tourism Bourse, ITB Berlin merupakan Platform Perniagaan bagi semua tawaran industri pelancongan. Bahkan, konvensyen pelancongan yang terbesar di dunia ini iaitu Market Trends & Innovations ini menyediakan peluang untuk memperolehi faedah daripada pihak-pihak yang terkemuka dalam industri pelancongan global yang disertai oleh 11,163 peserta termasuklah Malaysia yang sudah menyertainya buat kali ke-37.

 

Tahun ini Malaysia telah berjaya memenangi dua anugerah berprestij Golden Gate 2011, video ‘The Malaysian My Second Home’ telah memenangi anugerah Best TV Travel Magazine, manakala poster ‘Malaysia Truly Asia’ telah berjaya meraih tempat kedua dalam kategori kempen cetakan. Datuk Haji Azizan Noordin, Pemangku Pengarah Pelancongan Malaysia yang mengetuai delegasi Malaysia telah menerima anugerah-anugerah tersebut. WTR telah diberi peluang untuk mempromosikan percutian bermotorsikal di Malaysia buat kali pertamanya yang bertempat di Messe Berlin pada Mac 2011 yang lepas.

 

Perjalanan

Kuala Lumpur – Frankfurt menggunakan Sistem Penerbangan Malaysia.

Jarak perjalanan: melebihi 6000km; Masa perjalanan: 14 jam

Cuaca: -5 darjah celcius

 

Sejurus sampai di pintu imigresen lapangan terbang Frankfurt, saya di ajukan beberapa soalan oleh pihak imigresen. Pertama kali berada di Jerman? Berhenti seketika sambil melihat pasport saya. Datang untuk perniagaan atau percutian? Berhenti seketika sambil melihat pasport saya sekali lagi. Berapa lama anda akan berada di Jerman? Masih membelek-belek pasport saya. Di manakah anda akan tinggal sementara di Jerman? Perkara yang sama juga diulangi. Selepas mereka berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya, mereka mengecop pasport saya dan membenarkan kami pergi. Lega rasanya. Tidak semua orang ditahan untuk soaljawab lebih daripada 15 minit sebelum dibenarkan melepasi imigresen. Mungkin saya kurang bernasib baik hari ini. Namun semuanya berjalan baik selepas itu. Itulah pengalaman saya buat pertama kali menjejakkan kaki di Jerman.

 

Terdapat tiga kaedah pengangkutan untuk ke Berlin iaitu keretapi, bas atau kapal terbang. Selepas 14 jam di dalam kapal terbang, keretapi merupakan pilihan yang terbaik. Kami mencari pusat informasi pelancong DB BAHN (ditulis dengan warna merah), tempat jualan tiket dan pusat informasi. Harga berbeza-beza. Maka mintalah pakej yang sesuai. Kami membeli tiket untuk 3 hala (Frankfurt – Berlin-Berlin – Munich-Munich – Frankfurt) dengan harga 258 EURO yang boleh digunakan selama 30 hari untuk 2 orang berbanding dengan harga 238 Euro untuk 1 hala.

 

Kami menaiki keretapi dari Frankfurt (M) Flughafen Fernbf pada pukul 9.03 pagi (memang tepat sungguh pengurusan masa di sini) dan tiba di Berlin Hbf (Tief) pada 1.20 petang dan sekali lagi kami mencari papan tanda DB untuk panduan ke hotel kami. Kami menyewa teksi dengan bayaran sebanyak 25 Euro setelah mendapati hotel kami agak jauh dari situ.

 

Mari saya ceritakan tentang hotel atau rumah penginapan yang kami pilih melalui internet di laman web www.booking.com.

 

Pension Fährhaus Rahnsdorf terletak bersebelahan dengan Müggelsee Lake di daerah Köpenick di Berlin yang dimiliki dan diuruskan oleh sebuah keluarga, Stephi dan bapanya sebagai ketua tukang masak. Kadar internet: 30 Euro seorang untuk sebuah bilik tanpa sarapan pagi. Bilik yang ditawarkan sangat bersih dan dilengkapi dengan bilik mandi pancuran air panas dan sejuk, katil yang selesa, almari pakaian, televisyen, wi-fi percuma, meja kecil dan pemanas. Bilik saya mengadap gereja lama di seberang jalan manakala Sham mendapat bilik yang mengadap tasik. Kedua-dua pemandangan mempunyai kelebihan masing-masing. Bagi saya ianya amat menarik untuk menikmati suasana Eropah yang berbeza dan cantik.

 

Pension Fährhaus Rahnsdorf juga merupakan sebuah restoran yang menyediakan sarapan yang cukup lazat walaupun setakat roti. Hanya dengan 4 Euro setiap seorang sehari, kita boleh menikmati roti yang segar setiap pagi. Selain itu, jem segar, nuttella yang amat disukai oleh Sham, beberapa jenis keju, dadih, buah-buahan, telur separuh masak atau telur dadar, jus, teh, kopi, bakon daging, ayam dan daging peperoni turut disediakan.

 

Layanan dan perkhidmatan yang disediakan membuat anda kagum. Mereka juga peka dengan jadual kami yang terpaksa berada di Messe Berlin selewat-lewatnya 10 pagi. Keretapi dari stesen Rahnsdorf mengambil masa 45 minit dan jarak dari Fährhaus lebih kurang 10 minit perjalanan dengan kereta. Mereka menghantar dan mengambil kami dari stesen secara percuma. Kami hanya perlu menelefon mereka.

 

Keretapi merupakan kaedah pengangkutan yang penting di sini. Penumpang dibenarkan untuk membawa basikal, bahkan haiwan peliharaan terutamanya anjing. Saya terkejut melihat seekor Rottweiler memasuki keretapi dalam perjalanan pulang dan seekor German Sheppard dengan pemiliknya pada waktu keretapi sesak dengan penumpang. Anjing tersebut hanya beberapa inci dari tempat saya berdiri. Takut juga saya. Pastikan anda tidak berdiri di tepi pintu sewaktu keretapi sesak dengan penumpang. Kita mempunyai beberapa pilihan tiket sama ada 1 hala atau 1 hari dari 2 hingga 6 Euro. Mesinnya agak mudah digunakan. Sebaik sahaja anda telah membeli tiket, sahkan tiket tersebut di sebuah mesin pengesahan berhampiran mesin tiket itu. Jangan anggap tiada pegawai yang akan memeriksa sama ada anda mempunyai tiket atau tidak. Pegawai-pegawai di sini akan memilih keretapi secara rawak. Jika anda ditangkap kerana tidak mempunyai tiket, anda akan didenda sebanyak 30 Euro.

 

Perjalanan keretapi dan destinasinya dibezakan menggunakan warna yang berlainan. Pada awalnya mungkin masalah bahasa agak menyukarkan tetapi tiada masalah selepas membiasakan diri. Orang-orang Jerman pula peramah dan suka membantu. Jika anda meminta bantuan untuk ke satu tempat, mereka akan cuba membantu sebaik mungkin. Jika mereka tidak dapat memahami anda, mereka akan mencari orang yang dapat bercakap dalam Bahasa Inggeris. Kami juga pernah ditawarkan bantuan oleh seseorang yang melihat kami sedang cuba memahami peta. Adakah anda sesat? Boleh saya bantu?

 

Terdapat beberapa kategori orang yang mengembara. Pengembara seperti saya tidak akan mengembara beribu batu untuk membeli barang-barang yang boleh didapati di tanahair sendiri. Sebab itulah saya pergi ke pasar seni atau pasar lambak. Saya sangat bertuah kerana terdapat pasar seni di beberapa buah bandar yang kami lalui dalam perjalanan ke ITB pada hari Sabtu. Saya masih rasa berpuas hati walaupun saya hanya berpeluang untuk pergi ke sebuah pasar seni sahaja. Apa yang perlu anda ingat di pasar seni ialah jangan lupa untuk tawar-menawar dan jangan membuat keputusan terburu-buru. Saya telah membeli cangkuk yang cantik yang berharga 10 Euro untuk 3 unit berbanding dengan 10 Euro untuk 1 unit yang dijual di gerai lain.

 

Anda patut melawat bandar-bandar kecil kerana deretan kedainya amat cantik dan suasananya memang berbeza sekali. Bagi saya, Berlin merupakan sebuah tempat yang menenangkan dan cantik. Jangan lepaskan peluang untuk melawat bandar-bandar seperti Kopenick, Karlhorst dan Friedrichstr.

 

No comments
Share:
cc
Show Buttons
Hide Buttons