Bahagian 2 : Jelajah Eropah

Isnin

 

Hari ini saya memulakan catatan harian saya. Aktiviti kami untuk melawat Kilang BMW Motorrad di Berlin telah diuruskan oleh Fazli Shukor dari BMW Motorrad Malaysia. Kami amat berterima kasih kepada Fazli kerana telah menguruskan lawatan kami itu dalam masa yang singkat dan itupun hanya untuk kami berdua. Kami telah menaiki keretapi terus ke Spandau dari tempat tinggal kami sebelum menaiki keretapi bawah tanah ke Rathaus yang hanya 2 perhentian sahaja dari situ. Memandangkan kami tidak pasti jarak dari stesen, kami telah menyewa sebuah teksi dan mendapati hanya 10 minit berjalan kaki. Tepat jam 10 pagi kami tiba di pondok pengawal, di situ sudah sedia menantikan kehadiran kami Mr. Frank Sensenschmidt.

 

Frank membawa kami ke lobi di mana motorsikal mereka dipamerkan termasuk model Husqvarna. Selepas menikmati kopi, Frank membawa kami melawat ke Kilang BMW Motorrad, juga merupakan salah sebuah kilang yang paling lama. Bangunannya masih mempamerkan nilai-nilai sejarah. Apa yang seronoknya apabila membuat lawatan khas seperti ini (bagi saya lawatan ini istimewa) ialah kami dapat menggunakan masa sebaik-baiknya. Kilang BMW di Berlin ini mewakili hasil yang terbaik bagi memenuhi keperluan pelanggan-pelanggan mereka. Para pelanggan masih boleh menukar spesifikasi mereka dalam jangka masa 10 hari sebelum penghantaran dibuat. Sungguh hebat sekali perhatian yang diberikan kepada setiap pelanggan. (ikuti catatan khas saya tentang lawatan ke Kilang BMW).

 

Pernahkah saya mengatakan bahawa saya memang sukakan Jerman? Pengalaman berada di Jerman pada awal bulan Mac sungguh menakjubkan. Anda dapat menikmati penghujung musim sejuk dan permulaan musim bunga.

 

Tembok Berlin juga sebuah tempat yang wajib dilawati. Bandar di mana terletaknya Tembok Berlin ini amat berbeza dari segi suasananya yang menggambarkan sebuah bandar lama. Bandar ini terletak di Potsdamer Platz, tidak jauh dari stesen keretapi. Tembok bersejarah itu masih kukuh berdiri. Walau bagaimanapun, saya tidak berpeluang untuk ke Charlie Point walaupun dekat sahaja tetapi cuaca terlalu sejuk untuk saya. Sebenarnya angin yang bertiup yang membuatkan cuaca bertambah sejuk dan hari itu memang cuaca agak berangin. Pengajarannya, pastikan anda membawa bekalan baju sejuk yang mencukupi apabila ke Jerman.

 

Kami membeli Kebab Turki sebagai makan malam semasa di stesen keretapi dalam perjalanan pulang. Saya ingin menyentuh sedikit tentang satu lagi aspek penting dalam pengembaraan iaitu makanan. Anda tidak perlu risau tentang makanan di sini terutamanya bagi orang Islam. Terdapat 5 juta orang Turki di Jerman dan hampir kesemua stesen keretapi kecuali stesen yang betul-betul kecil mempunyai kios Kebab Turki. Di bandar-bandar utama seperti Messe, satu kebab berharga hampir 7 Euro tetapi di stesen keretapi hanya 3 Euro.

 

 

 

 

Selasa

 

Tiba masanya untuk meninggalkan Pension Fährhaus Rahnsdorf untuk ke destinasi seterusnya iaitu Munich atau Munchen. Munich ialah ejaan dalam Bahasa Inggeris manakala Munchen dalam bahasa Jerman. Jarak perjalanan ke Munchen hampir sama dengan jarak dari Frankfurt ke Berlin. Kami tinggal di Günstig Schlafen 24, sebuah lagi tempat yang hampir sama dengan Fahrhaus. Semuanya hampir sama kecuali pemandangan tasik dan layanannya. Kami terpaksa berjalan lebih daripada 800 meter untuk ke rumah kerana informasi yang diberi tidak tepat.

 

Di sebelah malam, kami telah menerima jemputan daripada bos BMW Motorrad. Mr Heinich untuk membawa kami ke sebuah restoran dan bar yang sudah bertapak sejak 400 tahun yang lalu dipanggil Hofbräuhaus am Platzl. Menurut sejarah, pada tahun 1516, bir tidak dibenarkan untuk dijual di khalayak ramai, sehinggalah pada tahun 1828, Raja Ludwig 1 telah memerintahkan dewan bir diraja dijadikan dewan bir awam.

 

Hidangan pretzel yang besar oleh pelayan yang berpakaian tradisional ‘lederhosen’ serta alunan bunyi dari pancaragam Bavaria mengamitkan lagi suasana di dalam dewan tersebut. Anda boleh duduk di mana sahaja yang anda suka, pelanggan yang hadir sangat peramah. Kami duduk dengan sepasang suami isteri yang tertarik dengan perwatakan kami. Kebetulan pula suaminya pernah berada di Malaysia selama 5 tahun. Kami bersembang seperti sudah kenal lama. Menu yang ada selain satu senarai panjang masakan barat ialah bir. Saya memesan jus epal segar, air mineral dan pretzel yang lebih besar daripada yang dijual di Aunty Anne dan dicicah dengan keju. Sungguh enak dan mengenyangkan.

 

Heinich merupakan tuan rumah / pemandu pelancong yang hebat. Beliau telah menerangkan tentang setiap apa yang kami lihat malam itu. Apa yang saya boleh katakan tentang bar ini ialah semua orang sedang bersuka-ria di situ. Mereka makan, minum, bersembang, menyanyi dan menari. Beliau membawa kami bersiar-siar di sekitar bandar sambil menerangkan tentang sejarah dan bangunan yang masih kukuh berdiri sejak 800 tahun yang lalu. Kami dapat melihat beberapa bangunan lama yang mempunyai rekabentuk dan senibina yang menarik. Malangnya suasana terlalu gelap untuk kami mengambil gambar dan menurut Heinich terdapat zon-zon di mana kenderaan tidak dibenarkan. Walaupun sudah jam 11 malam, namun masih ada lagi orang yang berjalan di jalan-jalan di situ dan remaja melepak bersama rakan-rakan. Beberapa tahun yang lepas, Munich dianggap sebagai sebuah kampung kerana kedai-kedai di situ tutup pada jam 8 malam. Kini keadaan sudah berubah dan Munich dianggap sebagai salah sebuah bandar yang sibuk di Jerman.

 

Rabu

 

Heinich menjemput kami pada pukul 8 pagi untuk mengambil RT1200R yang dipinjamkan kepada kami. Terletak di Dolstrestraße, saya memanggilnya bandar BMW kerana di situ terdapatnya bilik-bilik pameran BMW, ibupejabat BMW dan muzium BMW. Pendek kata segala-galanya berkisar tentang BMW. Kami terlalu banyak menaiki keretapi sehingga menyangkakan tiada kesesakan lalulintas di Jerman. Lalulintas agak sibuk semasa waktu puncak.

 

Kami telah bertemu dengan seorang lelaki (maaf saya sudah lupa namanya) yang bertanggungjawab menyediakan motorsikal kami. Beliau sungguh baik kerana membantu kami memasang GPS, menukar tempat duduk kepada yang lebih rendah dan menunjukkan cara-cara menggunakan peralatan motorsikal tersebut. Hujan turun sejak pagi lagi. Satu lagi perkara penting di sini ialah ramalan cuacanya hampir tepat. Samalah juga apabila anda bertanyakan jalan daripada seorang rakyat Jerman, mereka benar-benar tahu tentang tempat tinggal mereka. Kami membuat keputusan untuk tinggal di Munich lebih lama dan memulakan perjalanan pada keesokan harinya.

 

Khamis

 

Hujan masih renyai di luar sana. Kami bertolak dari Munich pada jam 10 pagi untuk ke destinasi utama kami iaitu Itali tetapi bercadang untuk singgah di Austria dan Switzerland terlebih dahulu. Pertama kali menunggang dalam keadaan cuaca yang sejuk bukanlah sesuatu yang mudah. Nasib baik motorsikal RT1200R didatangkan dengan pemegang dan tempat duduk pemanas, sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesejukan yang dirasai tetapi menunggang dalam cuaca yang sejuk seperti itu merupakan satu perbuatan ‘gila’ menurut Heinich. Kami terpaksa berhenti di tempat rehat yang pertama setelah menunggang selama 1 jam setengah, cuaca sangat sejuk, namun pengalaman itu sesuatu yang menarik dan baru.

 

Anda tidak akan menemui tandas di sini. Jika anda perlu ke tandas, perhatikan papantanda ‘WC’. Untuk memasuki ‘WC’ atau tandas anda akan dikena bayaran 70sen Euro dan akan dipulangkan selepas menggunakannya sebanyak 50sen Euro yang boleh digunakan untuk membeli apa sahaja barangan di kedai itu. Tandas di sini sangat bersih. Mangkuk tandasnya mempunyai satu butang yang membersihkan tempat duduk dengan sabun pembasmi kuman. Setelah 2 minggu berada di sini, tidak sekali pun saya melihat bekas tapak kasut di atas tempat duduk tandas.

 

Cara terbaik untuk melihat sebuah negara ialah di jalanraya. Sham telah menetapkan GPS mengikut laluan desa. Pemandangan yang sungguh menakjubkan, amat cantik. Kami telah melepasi beberapa pemandangan yang sungguh indah yang membuatkan saya teringat semula zaman kanak-kanak saya bersama bapa saya. Kami suka melihat keindahan padang hijau yang luas di mana hanya ada sebuah rumah di tengah-tengahnya atau rumah desa yang tenang pada gambar-gambar di kalendar. Satu ketenangan yang dirasakan dan begitulah juga yang saya rasakan pada waktu ini. Bukan sekadar lukisan tetapi benar-benar wujud.

 

Apabila meninggalkan Jerman sebelum memasuki Austria, kami dikehendaki membeli tiket tol yang berharga 4 Euro untuk motorsikal dan sah selama 10 hari.

 

AUSTRIA

 

Austria atau secara rasminya Republik Austria merupakan sebuah negara yang mempunyai 8.4 juta penduduk di seluas 83,855 kilometer persegi. Bahasa rasminya ialah Jerman dan matawangnya ialah Euro. Austria mempunyai banyak persamaan dengan Jerman dari segi cuaca, senibina, bandar dan juga bahasa. Apa yang saya nampak ialah satu ketenangan dapat dirasai apabila berada di Jerman atau Austria dan juga di Switzerland kemudiannya. Orang ramai tidak kelihatan seperti bergegas ke sana ke mari. Austria boleh dikatakan negara pergunungan kerana terletak berhampiran dengan Banjaran Alps. Gunung-ganang di situ sangat cantik tidak kira musim. Untuk tinggal di Austria juga tidak memerlukan belanja yang tinggi. Semak kadar hotel yang bermula dari 30 Euro di www.booking.com

 

SWITZERLAND

 

Secara rasminya Switzerland dipanggil Swiss Confederation dengan sejarah yang tidak pernah melibatkan diri dalam peperangan antarabangsa sejaka tahun 1815. Keluasan negara ini sebesar 41,285 kilometer persegi dan populasinya seramai 7.9 juta orang. Tiada siapa pun yang dapat menandingi ciptaan Tuhan. Switzerland mempunyai pemandangan yang sungguh memukau, mempesonakan dan cantik yang pernah saya lihat. Kata-kata tidak dapat menggambarkan keindahan yang berada di depan mata saya. Anda perlu datang dan lihat dengan mata anda sendiri. Memandangkan musim sejuk sudah sampai ke penghujungnya, kita masih dapat melihat salji di merata tempat dan permulaan musim bunga sudah menampakkan putik-putik bunga.

 

Seperti yang telah dikatakan oleh Heinich, tiada seorang pun yang menunggang motorsikal pada waktu-waktu begini kecuali kami berdua. Kami berhenti beberapa kali untuk mengambil gambar dan tidak melepaskan peluang untuk makan di ‘Marche Restaurant’. Pengalaman yang cukup berharga bagi kami yang menunggang motorsikal melalui Switzerland apabila tidak banyak kenderaan di atas jalanraya ketika hari semakin gelap.

 

Menunggang motorsikal di jalan yang hampir tiada orang menimbulkan satu macam perasaan dalam diri kita. Betapa kecilnya diri ini apabila melalui jalan yang kiri kanannya hanya gunung-ganang. Pada masa yang sama terasa seram sedikit tetapi ketenangan yang cukup berbeza juga dapat dirasakan. Bagi Sham, beliau cukup gembira kerana dapat pulang ke situ semula dan melakukan apa yang disukainya, menunggang motorsikal terutamanya pada waktu-waktu begini dengan BMW RT1200R kerana walaupun berjam-jam menunggang, kepenatan tidak terasa. Percayalah, jika anda ingin mengembara dengan motorsikal beribu batu jauhnya, BMW RT1200R memang sangat disyorkan.

 

Milan, ITALI

 

Menunggang di celah-celah kawasan pergunungan sambil diterangi cahaya dari kampung-kampung di atas bukit amat mengagumkan sama sekali. Kami berhenti di sebuah tempat yang dipanggil Bellinzona Nord dengan anggapan sudah tiba di Itali tetapi pada hakikatnya kami masih belum sampai di sempadan antara Switzerland dan Itali. Cuaca sudah tidak begitu sejuk di situ. Tol di Itali agak mahal, kadarnya sama dengan kereta. Namun anda boleh membayar menggunakan kad kredit di situ. Akhirnya kami berjaya juga menjejakkan kaki di Itali. Perjalanan ke Milan ialah sejauh 20km dari tol pertama. Anda perlu peka terhadap papan tanda di sepanjang lebuhraya jika tidak menggunakan GPS.

 

Pengembaraan kami diteruskan…Italy, negara Eropah Selatan yang terkenal dengan makanan, seni dan sejarahnya.

No comments
Share:
cc
Show Buttons
Hide Buttons