Bahagian 3 : Jelajah Eropah

Kami tiba di Milan pada jam 11.45 malam. Bukan mudah untuk mencari tempat bermalam di situ. Kami telah pergi ke beberapa tempat tetapi tiada satu pun yang berkenan di hati. Akhirnya kami menginap di New York Hotel yang dicadangkan oleh En. Faharuddin, Pengarah Pelancongan Malaysia di Itali. Di Milan, 50 Euro untuk sebuah bilik yang selesa dan bersih memang berbaloi. Apabila kami selesai mendaftar masuk, jam sudah pun menunjukkan pukul 2 pagi. Dengan katil yang selesa, kami terus terlena dan keesokan harinya kami bangun dalam keadaan segar untuk ke Florence atau Firenze.

KE FLORENCE

Kami mengalami masalah dengan kotak sisi penyimpan barang sebelum bertolak. Nasib baik BMW Milan tidak berapa jauh dari hotel. BMW menawarkan jaminan seluruh dunia jadi anda boleh ke mana-mana bilik pameran BMW jika anda mempunyai masalah dengan BMW anda. Hanya beberapa minit sahaja masalah kami selesai.

Perjalanan dari Milan ke Florence lebih kurang 306km sepanjang perjalanan kami ditemani dengan pemandangan yang sungguh mengasyikkan. Senibinanya dengan gaya tersendiri memukau permandangan saya, ia sememangnya mencerminkan Itali.

Kami tiba di Florence jam 3 petang. Penghargaan kepada Toscana Promozione kerana menaja penginapan kami di Tuscany. Kami telah ditempatkan di salah sebuah gereja yang telah dijadikan sebuah hotel, berusia 400 tahun dan tertua di Florence iaitu Convitto Della Calzahotel terletak di Piazza Della Calza 6, Firenze.

Di situ kami cukup teruja dapat berjumpa semula dengan Tomasso dan teman wanitanya Francessca yang mana sebelum ini saya hanya berbual di dalam internet.

Kami juga dijadualkan untuk bertemu dengan pemandu pelancong kami Ms. Michela yang akan membawa kami bersiar-siar di bandar Florence.

FLORENCE

 

Michelangelo, Donatello, Leonardo da Vinci, Dante, nama-nama pelukis terkenal yang saya tahu. Florence cukup sesuai untuk mereka yang gemarkan seni lukis. Statistik UNESCO menunjukkan bahawa 60% daripada hasil seni yang paling penting di dunia terdapat di Itali dan lebih kurang separuh daripadanya terletak di Florence. Disebabkan itu, Florence digelar ibukota seni dan diisytiharkan sebagai UNESCO WORLD HERITAGE SITE pada 1982.

Sewaktu zaman Renaissance Itali, Florence telah mengubah istana-istana dan dataran-dataran menjadi muzium. Di sinilah anda boleh merasakan semangat Renaissance berbanding dengan tempat lain di negara itu. Dua daripada muzium seni yang terhebat terletak di Florence, Uffizi house di mana terdapatnya koleksi lukisan Renaissance dan Accademia yang mempunyai ukiran David oleh Michelangelo dan ukiran-ukiran asal dari beratus-ratus dahulu. Apabila anda melalui Piazzale degli Uffizi untuk masuk ke Piazza Della Signoria, anda akan mendapati sebuah muzium ukiran terbuka yang terlindung di sebalik Palazzo Vecchio yang terkenal.

Florence juga merupakan tempat di mana gereja-gereja besar dibina. Gereja yang paling terkenal ialah Santa Maria del Fiore atau juga dikenali sebagai Duomo. Di sini kita dapat saksikan teknik-teknik kejuruteraan sivil pada kurun ke-15. Simbol yang paling dikenali di Florence ialah kubahnya yang hebat di setiap pelusuk bandar itu. Kecantikan kubah Brunelleschi’ senormous boleh dilihat dari bawah menara loceng atau dengan menaiki 460 anak tangga ke atas untuk melihat panorama bandar Florence. Walau bagaimanapun, tempahan awal perlu dibuat untuk mengelakkan beratur yang panjang memasuki muzium dan Duomo.

Florence merupakan bandar seni dan ukiran yang memperkenalkan anda kepada pencapaian kesenian, senibina, kesusasteraan dan budaya dalam sejarah Itali.

Untuk menikmati segala yang ada di bandar Florence, anda dinasihatkan untuk berjalan kaki. Inilah cara terbaik untuk melihat dan mengagumi bandar bersejarah ini. Keindahan bandar bersejarah ini sungguh memukau. Rasa gembira yang amat sangat kerana berpeluang menyentuh dinding dan patung-patung yang telah dibina oleh pereka-pereka yang terhebat di dunia. Saat yang paling berharga buat saya ialah dapat berdiri di pintu masuk rumah Mona Lisa, sungguh epik saat itu bukan..

 

JAMBATAN PONTA VECCHIO

Apa yang saya kagumi tentang Sungai Arno ialah senibina Jambatan Ponta Vecchio yang sungguh menakjubkan dan barisan kedai yang menjual barang kemas, hasil seni dan cenderahati. Selain daripada menjadi ikon Florence yang simbolik, tempat ini juga merupakan tempat yang paling sesuai untuk melihat matahari terbenam di bukit-bukau Tuscany. Walaupun anda mungkin tidak berhajat untuk membeli apa-apa, namun memang berbaloi berjalan-jalan di situ menikmati suasana yang penuh sejarah. Jambatan Ponta Vecchio telah dibina pada tahun 1345 yang menghubungkan kawasan utara dan selatan Florence menyeberangi Sungai Arno. Jambatan ini merupakan satu-satunya jambatan menyeberangi Arno yang tidak dimusnahkan oleh tentera Nazi sewaktu Perang Dunia Kedua. Jangan ketinggalan untuk ke kawasan selatan untuk melihat dinding-dinding dan pintu-pintu yang dipulihara sehingga ke hari ini.

 

MEMBELI-BELAH

Florence merupakan syurga untuk mereka yang gemar membeli-belah terutamanya bagi mereka yang meminati pakaian berjenama terkenal seperti Dior, Prada, Gucci, Versace dan banyak lagi. Jangan risau, masih ada barangan yang murah di sana. Walaupun terdapat banyak kedai yang eksklusif, namun masih ada kedai-kedai yang menjual pakaian, aksesori dan cenderahati dengan harga yang berpatutan. Bagi mereka yang gemarkan barangan kulit, di sinilah juga tempat anda. Apa sahaja yang anda inginkan, kot, beg, sarung tangan dan kasut, semuanya ada di sini. Bagi mereka yang tidak minat untuk membeli-belah, bersiar-siarlah di sini untuk melihat butik-butik yang berkilau di dalam bangunan yang menakjubkan.

Untuk membeli cenderahati atau barangan kulit pada harga yang lebih murah, anda boleh pergi ke Mercato Nuovo yang bermaksud ‘pasar baru’ yang terletak di kawasan perdagangan kurun ke-16. Pasar terbuka ini juga dikenali sebagai ‘Porcellino’ atau ‘piglet fountain’ yang dibina oleh Pietro Tacca pada tahun 1612. Pastikan anda menggosok muncungnya dan membalingkan duit syiling ke dalam pancutan itu. Penduduk tempatan di situ percaya bahawa jika duit syiling anda melepasi palang besi di dasar pancutan itu, anda akan kembali ke Florence lagi. pasar ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Kafe-kafe terdapat di mana-mana sahaja dan di dalam dataran anda boleh dapati banyak kiosk-kiosk kecil yang menjual cenderahati. Sebagai sebuah bandar berseni, anda juga boleh dapati pelukis-pelukis amatur menjual hasil seni mereka.

 

MENUNGGANG PADA HARI AHAD

Tornasso dan Francessca membawa kami bersiar-siar di sekeliling bandar dan seperti di Malaysia, mereka juga mempunyai aktiviti menunggang pada hari Ahad. Tempat pertama yang kami lawati ialah The Basilica di San Miniatoal Monte yang bermaksud Basilica of St Minias di atas gunung. Sungguh cantik dengan kedudukannya di salah satu puncak yang tertinggi di Florence. Gereja ini dikatakan sebagai struktur Roman yang terbaik di Tuscany dan salah sebuah gereja yang tercantik di Itali.

Florence bertuah kerana mempunyai kecantikan yang dikagumi oleh penduduk tempatan dan pelancong. Sebuah lagi tempat yang sangat cantik di situ ialah Dataran Michelangelo, sebuah teres kurun ke-19 yang terletak di bawah San Miniato di bahagian selatan. Di dataran itulah terletaknya replika Patung David oleh Michelangelo di tengah-tengah, berdiri megah di tepi bukit sambil menampakkan latar langit Florence yang menakjubkan. Dari sinilah anda dapat melihat segalanya serentak.

Ramai pemilik motorsikal dan kereta pada hari kami di sana. Menurut Tomasso, tempat ini merupakan lokasi perjumpaan bagi mereka yang menyertai tunggangan pada hari Ahad. Kami dapat melihat deretan motorsikal dan kereta antik di situ.

 

FIESOLE

Jika anda fikir Dataran Michelangelo merupakan lokasi paling tinggi, tunggu sehingga anda sampai di Fiesole. Perkampungan kecil yang bersejarah, aman dan ajaib ini terletak 8km di utara Florence, ditubuhkan 400 tahun dahulu sebelum wujudnya Florence dan penuh dengan sejarah serta drama. Banyak peperangan yang telah ditempuhi antara dua buah bandar ini sehinggalah Florence mencapai kemenangan. Agak kepenatan mendaki sehingga ke atas tetapi sangat berbaloi dengan pemandangan lembah yang memukau.

Saya memang suka pasar lambak dan amat bertuah kerana kami berada di situ pada hujung minggu kedua bulan itu. Walaupun lebih kecil daripada di Jerman, namun pasar itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

 

ISNIN

Kami sentiasa tidak sabar menunggu setiap hari menjelang ketika di sini. Destinasi hari ini ialah Bologna. Tahukah anda bahawa Bologna telah wujud sejak kurun ke 10 sebelum masihi sebelum Zaman Besi. Menarik bukan? Satu lagi tarikan di Bologna ialah lawatan kami ke Ducati.

Perjalanan ke Bologna lebih kurang 80km dari Florence. Bologna terletak di kawasan paling utara Itali dan di persimpangan semua lebuh raya Itali (autostrada) A14, A13 dan A1. Lebih kurang 1 jam diperlukan untuk tiba di sana dari Florence. Untuk ke Ducati (muzium dan juga kilang) yang terletak di Via Antonio Cavalieri Ducati, 2 Bologna, tetapkan koordinat GPS anda ke: 44.516399, 11.267574 / N 44.30.970 E 11.16.140.

Kami telah disambut mesra oleh David James, Pengurus Media Ducati International, seorang warganegara Inggeris di Italy yang bekerja dengan Ducati kerana minatnya terhadap motorsikal tersebut.

Seperti yang kita sedia maklum, Ducati sentiasa dikaitkan dengan perlumbaan motorsikal. Ducati telah ditubuhkan oleh jurutera Antonio Cavalieri Ducati dan tiga orang anak lelakinya: Adriano, Bruno dan Marcello.

Tahukah anda mereka bermula sebagai pengeluar radio, komponen elektronik dan kamera yang terkemuka di dunia yang dinamakan secara rasmi sebagai ‘The Societa Radio Brevettu Ducati’.

Kami kemudiannya diperkenalkan kepada Kurator Muzium, Mr. Livio Lodi. Beliau membawa kami melawat kilang yang terletak di premis yang sama.

Motorsikal-motorsikal Ducati dihasilkan di atas barisan pemasangan dengan hanya dua pasang tangan untuk setiap motorsikal. Ya, motorsikal ini dihasilkan menggunakan tangan, tiada melibatkan robot. Semua pemasangan menggunakan tangan. Terdapat juga bahagian lif-lif motorsikal, peralatan dan kelengkapan elektronik. Setiap juruteknik akan menghidupkan setiap mesin dan ditetapkan fungsinya secara manual sebelum menukarkannya kepada dyno untuk ujian terakhir dan penghantaran.

Melihat sendiri penghasilan jentera Ducati dengan tangan membuatkan saya memahami maksud Mr. Livio apabila beliau mengatakan bahawa menghasilkan Ducati ialah satu seni. Kemahiran dan yang paling penting kesungguhan setiap juruteknik dalam menghasilkan setiap unit motorsikal serta prinsip-prinsip asas yang diaplikasikan dalam kilang yang serba moden itu mewakili kualiti dan jenama yang dipegang selama ini. Dengan menyaksikan sendiri penghasilan ini, saya lebih menghargai motorsikal buatan Itali ini.

Anda juga akan berasa kagum dengan muzium mereka. Impian, kejayaan dan sejarah Ducati semuanya dipamerkan di muzium ini. Semuanya bermula di Bologna pada tahun 1926 di dalam bangunan sebesar 1000 kaki persegi ini, kisah-kisah motorsikal-motorsikal legenda dan penunggang-penunggangnya serta warisan litar lumba. Anda dapat rasakan kesungguhan mereka untuk menghasilkan prestasi yang cemerlang apabila melihat apa yang dipamerkan di situ. Menurut Livio, bukan hari atau bulan tapi bertahun-tahun lamanya untuk menyiapkan muzium tersebut. Tidak semua motorsikal Ducati yang ada bersama mereka. Jadi mereka terpaksa mencari di setiap pelusuk negara itu untuk mendapatkan motorsikal pertama sehinggalah motorsikal terbaru untuk dipamerkan di dalam muzium itu. Apabila berdiri di sudut hujung muzium, anda akan dapat melihat permulaannya. Satu perasaan yang sukar digambarkan. Untuk memahami apa yang saya maksudkan, anda perlu datang ke sini untuk menyaksikan dengan mata anda sendiri.

 

Perjalanan kami diteruskan ke salah sebuah litar yang terkenal di dunia, Litar Mugello…

No comments
Share:
cc
Show Buttons
Hide Buttons