Regal Raptor, sebuah raptor yang seakan cruiser

Hari Jumaat itu saya mempunyai satu tugasan iaitu untuk memeriksa dan menilai sebuah motorsikal. Tanpa maklumat yang banyak tentang jentera ini dan semakin hampir saya padanya, saya tertarik dengan rekabentuk tangki minyaknya yang sangat menyerlah dan bahagian krom yang kemas yang menyilaukan mata saya. Hati saya berkata bahawa motorsikal ini mempunyai rekabentuk sebuah cruiser. Sebuah cruiser ialah jentera yang ringkas, biasa, sempit, panjang, mempunyai bahagian-bahagian mekanikal yang terdedah dan maskulin. Nama diberi ialah Regal Raptor dan direkabentuk oleh pereka terkemuka iaitu Johnny Pag. Jenama ini terkenal dengan rekabentuk motorsikal yang mempunyai set enjin yang serupa. Model yang pernah saya uji ialah Regal Raptor Daytona (dinamakan Regal Raptor Momos di Malaysia) yang merupakan cruiser berasaskan gaya.

Walaupun saya seorang yang suka melemparkan senyuman, namun apabila menunggang motorsikal ini saya dapati agak sukar untuk mnegukirkan senyuman atau menunjukkan riak wajah yang sopan. Motorsikal ini seakan membawa jiwa sebuah cruiser di mana apabila seseorang itu mengendalikan sebuah cruiser, mereka mempamerkan riak wajah yang digeruni dan bukan untuk dipermain-mainkan walaupun seorang pelawak melintas di hadapannya. Riak wajah seperti itu juga yang terpancar di muka saya apabila saya menunggang jentera tersebut. Kini barulah saya faham budaya cruiser, penunggang secara automatik akan bertukar menjadi seseorang yang digeruni! Motorsikal ini tidak mempunyai banyak alat elektronik dan karburatornya yang terdedah mengingatkan saya pada rekabentuk motorsikal zaman 80an.

Regal Raptor Daytona dilengkapi dengan enjin 2 silinder sebaris 320cc yang agak lancar bagi sebuah enjin jenis 2 silinder. Karburator digunakan untuk campuran udara/minyak berbanding dengan suntikan minyak moden yang cekap. Karburator yang terdedah itu mempamerkan ciri mekanikal klasik, berbeza dengan ciri moden kini. Dengan pakej ini, enjin tersebut menghasilkan kuasa 22.8hp dan 22N.m tork. Catatan ini tidak berapa menarik bagi sebuah motorsikal 320cc tetapi pecutannya pantas. Bahkan saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk memotong kenderaan lain di lebuhraya sewaktu menunggang pada kelajuan purata 90km/j tetapi apabila melebihi 110km/j, jentera tersebut menjadi kurang lancar. Bagi pengguna yang memiliki motorsikal ini, saya cadangkan anda mengekalkan kelajuan sehingga 110km/j kerana apabila melebihi had tersebut, keadaan berubah dan penunggangan menjadi kurang selesa. Seperti namanya, sebuah cruiser berfungsi untuk ditunggang dengan selesa pada kelajuan yang rendah.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, cruiser ini mempunyai ciri-ciri dinamik yang sederhana, kelajuan di bawah 110km/j memberikan keseronokan kepada penunggang. Radiator yang nipis dan kurus dengan sistem penyejukan cecair mengekalkan kesejukan enjin. Kuasa jentera itu ditransmisikan kepada kotak gear 5 kelajuan dan saya dapati pertukaran gear sangat lancar dan mudah dijangka. Sambil meluncur di lebuhraya, saya dapati motorsikal ini mempunyai tork akhir pertengahan dan berlaku secara linear, memecut laju setiap kali mempunyai peluang memang menyeronokkan. Penebatan getaran berfungsi dengan baik sekali kerana saya tidak merasakan sedikit pun getaran sewaktu menunggang. Apa yang mengecewakan ialah cakera brek jentera ini yang tidak berfungsi dengan baik. Dua cakera pada roda hadapan dan satu cakera pada roda belakang sepatutnya berfungsi dengan baik tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bunyi yang bising kedengaran dan kuasa pemberhentian yang tidak memuaskan.

Gaya motorsikal ini merupakan satu kebanggaan. Tangki minyak diletakkan pada ketinggian yang sesuai dan direkabentuk secara radikal kerana sekali pandang motorsikal ini kelihatan seperti sebuah American Chopper. Aci sesondolnya disalut dengan warna krom dan dengan penutup bateri serta kotak utiliti mempamerkan wajah yang menarik. 2 ekzos kecil kelihatan di antara tayar besar yang mempunyai lebar 160mm. Alangkah baiknya jika saiz ekzos tersebut selaras dengan saiz motorsikal dan apa yang mengecewakan lagi ialah ekzosnya kekurangan bunyi gemuruh yang menjadi identiti sebuah cruiser yang mempunyai rekabentuk radikal seperti itu. Handelnya berada pada kedudukan ergonomi yang baik dan cukup lebar untuk perjalanan pada hujung minggu. Peralatan pada jentera itu mempunyai susunan yang agak tradisional. Meter perjalanan dan odometer masih menggunakan sistem analog dan lampu isyarat asas diletakkan di sebelah tolok speedometer. Posisi kunci pencucuh pula mempamerkan pendekatan yang baru di mana ia diletakkan di bahagian hadapan di bawah tangki minyak, jauh daripada kedudukan konvensional dan boleh dihidupkan melalui tombol yang disalut dengan warna krom.

Motorsikal ini dilengkapi dengan kusyen yang tebal, menjadikannya selesa untuk perjalanan jarak jauh. Tempat duduk pembonceng agak standard dan memberikan posisi duduk yang baik. Ketetapan suspensi agak lembut dan berupaya untuk berfungsi dengan baik di jalanraya manakala fork USD pada tayar hadapan memberikan lebih ketegaran. Dari segi pengendalian, Regal Raptor mudah untuk dikendalikan tetapi seelok-eloknya hindarkan daripada kesesakan lalulintas kerana handelnya yang lebar akan melanggar kenderaan lain di jalanraya dan ditambah pula dengan riak muka yang digeruni, masalah akan timbul.

Regal Raptor Daytona (Momos di pasaran Malaysia) merupakan sebuah cruiser yang mempunyai rekabentuk yang hebat, peralatan yang ringkas dan dilengkapi dengan enjin kecil 320cc serta boleh dikatakan sebuah cruiser yang murah dan sangat menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Mereka yang baru sahaja mempunyai lesen B penuh dan juga penunggang yang berpengalaman yang mengidamkan gaya hidup cruiser tetapi mempunyai bajet tertentu boleh memiliki motorsikal ini pada harga RM16,000 lebih.

No comments
Share:
cc
Show Buttons
Hide Buttons